Kalau ikut tarikh di google photos 24.8.2025. Maka ammi rasa tarikh itulah ammi masak ayam penyet tak jadi ni.
Ayam tu ada rasa yang meresap sampai ke isi tapi jadi kering sikit hilang jusnya mungkin sebab lama sangat ammi rebus kot.
Ammi grill manja terung yang ammi lumurkan dengan garam dan cili powder. Ingatkan tak laku, paling awal habis rupanya.
Sambal ayam penyet yang tak macam di kedai, tapi sedap juga rasanya. Ammi buat banyak, jadi 2-3 hari juga kami makan ulam dan salad cicah sambal ni.
Resepi kata, goreng dulu ikan bilis kemudian diblend kasar kemudian masukkan bahan lain macam cili, tomato, belacan, bawang bagai dan blend manja-manja je. Tapi sebagai penderhaka, ammi terjunkan semua sekali harung. Tu yang hancur semua.
Tapi sedap resepinya sebab ada rasa ikan bilis goreng tu.
Nasi tu ammi masak guna air rebusan ayam bersama bumbu. Jadi macam nasi ayam gitu. Air rebusan tu banyak, takat nak jadikan sup, sikit je kot kita perlukan. Sedaplah resepi ni boleh repeat cuma kena kurangkan tempoh merebus supaya ayam kekal juicy di dalam.
Bahan untuk Sambal Ayam Penyet
- 10 biji cili padi
- 10 biji cili merah
- 10 biji bawang merah, belah 4
- 3 biji bawang putih, hiris kasar
- 3 biji tomato, belah 4
- 5 cm belacan bakar
- 1/2 gengam ikan bilis
- 3 sudu besar gula melaka, atau secukup rasa
- secawan minyak
- limau nipis atau limau kasturi
- sedikit garam, jika perlu secukup rasa
Cara buat Sambal Ayam Penyet
- Goreng ikan bilis dalam minyak sehingga garing. Angkat dan asingkan.
- Goreng cili dan bawang dalam minyak yang sama.
- Kemudian goreng tomato sehingga layu.
- Kisar kasar ikan bilis, cili, bawang dan tomato yang digoreng bersama belacan bakar.
- Panaskan minyak lebihan tadi, masak sambal yang dikisar kasar bersama gula melaka. Perasakan dengan garam jika perlu. Hati-hati kerana ikan bilis sudah masin.
0 Comments