Amalan-Amalan Bulan Rejab

Esok bermulalah bulan Rejab.  Bulan yang penuh keberkatan sebelum bermulanya Syaaban dan Ramadhan.

Banyak amalan yang boleh diamalkan dibulan Rejab dan kita mulai dengan doa pada petang ini.  


Memperbanyak doa:

أللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَان

Allahumma barik lana fi rajab wa sya'ban wa balighna Ramadhana.


Maksudnya: Ya Allah, berkahilah umur kami di bulan Rajab dan Syaban, serta sampaikanlah (umur) kami hingga ke bulan Ramadhan.


Habib Umar bin Hafidz memberi amalan untuk mendapatkan keutamaan bulan Rejab.


💚 Menghidupkan malam pertama di bulan rejab dengan melakukan amal soleh (Qiamullail, Membaca Quran, Istighfar)

💚 Memperbanyak istighfar di dalamnya setiap hari sekurang-kurangnya 70× selepas Subuh dan Isyak 

💚 Bersungguh-sungguh dalam bertaubat kepada Allah S.W.T

💚 Bertanya khabar keluarga, saudara-mara, jiran dan sahabat

💚 Bersedekah setiap hari walau sedikit tetapi istiqomah

💚 Berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari di awal di tengah dan di akhirnya Rejab

💚 Dianjurkan menyembelih kambing bagi sesiapa yang mampu dan megagihkan dagingnya

💚 Bulan Rejab bulan Istighfar dan di sini kita menanam benih, pada bulan Sya'ban kita akan membaja, dan bulan Ramadhan kita menuai hasilnya.





Perkongsian dari @ptsunnatulmusthofa dan Kumpulan Al-Insyirah

Makan di MyViets Seremban Gateway

Hari Jumaat lepas ammi ambil peluang untuk tidak bekerja walaupun boss tidak berada di office.  Boss suruh aturkanlah sendiri kerja.  Jadi melihat pada keadaan trafik dari Isnin ke Khamis ammi yakin ramai yang sambung cuti sempena anak pun cuti sekolah jadi ammi pun decide untuk cuti juga.  Ahaks.

Hari Jumaat tu ammi memang dah tugaskan anak-anak untuk buat sarapan pagi.  Gambar kat ammi ada sekeping je.  Rasa macam ada ambil gambar hasil masakan tapi mana ntah.

Selepas sarapan pagi kita buat cleaning rumah besar-besaran.  Kita cuci apa yang patut, sapu, mop bagai pastu kita tutup je dapur terus.  Kita kenyit-kenyit mata kat abah suruh bawak kita lunch di luar.

Lepas solat kita pun ikut pilihan anak-anak ke Seremban Gateway.  Budak-budak ni nak makan kat Nippon Shabuyaki. Sekali bila sampai situ hambikkkk sungguh panjang barisan.  Dan ammi cadangkan kita makan je kat MyViets sebab ammi dah tau yang kedai tu halal.  Owner Nippon Shabuyaki dan MyViets adalah orang yang sama.  Yeay...abah setuju je sebab awalnya abah pun taknak makan stimbot sebab abahnya tengah demam.  Selera pun tak ada nak makan sangat.


Air kami.  Peach, Strawberry dan Ginger Flower Tea.  Setiap satu air teh ni harganya RM6.90.  Ada rasa kelat teh dihujung-hujung tekak gitu.


Orang kata kopi Vietnam sedap, jadi Abah dan Khilfi order kopi.  Sorang ambil yang panas sorang ambil yg sejuk.  Kopi harganya RM7.90 setiap satu.


Sementara tunggu makanan sampai kita ambil jelah dulu gambar kasut size kapal layar anak dara ni.  Ehhh sibuk je yang berselipar tu nak menyelit sama.


Kami berlima.. yang bujang-bujang kalau tak buat muka memang tak sahkan?


Yang ini Abah punya Spicy Noodle Soup Tenderloin - RM16.90


Kyra punya Pho Bo Brisket - RM18.90


Alip punya Soy Noodle Tenderloin - RM15.90


Ammi punya Spicy Noodle soup Beef Shank - RM17.90.  Ammi pun tak tau apa beza dengan abah punya macam sama tapi dia kata bukan.  Lantaklah.  


Khilfi punya Spicy Beef Fried flat Noodle - RM15.50.  Inilah kueh tiow yang ammi suka sangat tu.  Ok sekarang dah tau kat mana nak cari kueh tiow pesen camni.  Manjang gi kedai, dalam gambar tunjuk gini tapi bila sampai banjir teruk kueh tiownya.  I don't like.  


Ammi kelip-kelip mata kat abah mintak nak tambah Large Sharing Platter.  Kenapa kelip-kelip sebab harganya RM49.90.  Mujur ok...kalau tidak I merajuk nanti.  Ahaks.


Melayan budak bulu lebat ni makan sampai pejam-pejam mata.  Suruh cicah sos taknak, entah apa agaknya rasa bila makan raw gitu je.  


Harga makan di sini not bad juga.  Jadi mahal sebab maknya gatal nak ambil platter bagai.  Total kami haritu adalah RM171++.  


Kat luar kedai, Khilfi kata dia dah nak hampir sama tinggi dengan kakak.  Ok...bolehlah.  Lagipun kasut kakak tu macam agak tinggi.  Sikit lagi je abang.


Dan tetiba, yang kecik pun taknak kalah.  Dia pun kata dah nak sama tinggi dengan kakak.  Kita ye kan ajalah.  Biar gambar jelah yang buktikan.

Selesai makan, budak-budak nak ke kedai buku "kayangan" kat atas ni pastu jomlah kita jenjalan ke Port Dickson pulak.  Dah alang-alang cuti ni kan.

Berapa berhabis untuk camping?

Ada yang bertanya berapa budget ammi untuk beli barang-barang berkhemah.  Hmmmm bajet ni ikut pada brand apa yang kita beli juga.  Ada duit bolehlah beli yang BlackDog, Coody bagai.  Tapi ammi bajet takat cukup-cukup makan jadi kita beli ikut bajet kita dan keperluan.  Top up pun sikit-sikit supaya tak rasa terbeban.

Macam ammi kebanyakan peralatan khemah ammi (hampir 90%) ammi beli daripada TikTok shop ataupun Shopee.  Bergantung pada platform mana yang beri voucher yang banyak. Kalau beli di kedai payah nau nak dapat diskaun. Contohnya ada barang dikedai dijual pada harga RM90 tapi ammi beli online termasuk shipping pada harga RM78.  Jadi pandai-pandailah mencari.

Khemah

Benda paling mahal untuk berkhemah dah tentulah khemahnya.  Ammi pilih untuk beli khemah yang tidak ada jenama tapi kualitinya hampir sama dengan jenama yang dah agak well known. 


Ammi beli khemah automatik jenama Arno daripada Shopee.  Ammi dapat beli pada harga RM970.00.  Khemah ni sebijik serupa (copy ori) dengan satu brand yang terkenal dan kalau brand itu harganya dekat RM1,700.00 juga.

Kenapa pilih khemah auto?  Sebab ammi dan abah tak reti sangat pun nak pasang sendiri khemah yang kena cucuk batang sana sini.  Daripada kami bergaduh masa pasang khemah ada baiknya beli yang mudahkan kami masa pasang dan buka.

Ground Sheet

Dah ada khemah perlu ada Ground Sheet.  Apa itu ground sheet?

Ground Sheet ni adalah plastik tahan lasak yang kita letak dibawah khemah.  Macam gambar di atas, tu plastik warna grey yang jadi alas tu.  Groundsheet bukanlah satu keperluan wajib tapi demi untuk menjaga khemah kita yang harganya boleh tahan mahal tu, sebabnya khemah kita didirikan diatas tapak yang biasanya adalah batu ataupun tanah yang lembab.  Jadi dengan adanya ground sheet bolehlah bantu untuk selamatkan tapak khemah kita tu.  Juga boleh lindungi tapak khemah kita waktu hujan.

Harga untuk size 3' x 4.5' adalah RM65 dan harga bagi size 4'x6' adalah RM95.00.  

Ammi beli online je ground sheet ni sebab ikut kepandaian kitalah claim macam-macam voucher.  Kenapa ammi beli 2?  Sebab yang pertama tu terbeli kecil sangat dan ngam-ngam dengan size khemah.  Jadi ammi adalah extra ground sheet buat jadi alas di tempat yang letak meja tu (kita panggil common area).

Tilam Angin & Foldable Bed


Ini bukanlah satu keperluan untuk camping.  Tapi disebabkan ammi nak keselesaan jadi ammi pujuk abah untuk beli.


Tilam angin ammi beli di Shopee pada harga RM140 dan dapat dengan 2 biji bantal angin yang kecil dan foldable bed (katil askar) tu dalam RM95 setiap satu.  Ammi beli 2 foldable bed jadi kesemua kami berlima tidaklah perlu tidur di atas lantai.

Lagi satu ammi risau masa tidur kot ada ulat ke, lipan ke masuk khemah.

Kermit Table



Ini bukan keperluan wajib.  Tapi kita gedik nak membeli sebab terfikir kalau tak ada meja kena makan bersila kat bawah.  Kaki kita senang kebas.  At least ada meja ni bolehlah letak makanan yang sudah dimasak juga.  Harga satu set meja ni termasuk 4 biji kerusi adalah RM250.00.

2 biji healing chair dibelakang tu dah lama ammi beli...beli pada harga RM39 tak silap untuk 2 biji.  

Foldable Shelf



Sekali lagi ini pun bukan satu keperluan wajib untuk berkhemah.  Tapi lebih kepada memudahkan kita untuk menyimpan barang yang dibawa.  Kita pun kena pandai-pandailah susun supaya muat segala benda nak diletakkan dirak yang kecik ni.

Rak kayu ni ammi beli pada harga RM55 dan iron mesh disebelahnya dalam RM35 untuk 2 tingkat.  

Iron Mesh Kitchen Cabinet



Ini pun tiada keperluan tapi ammi beli untuk mudahkan ammi letak dapur untuk memasak.  Ammi beli pada harga RM88 dan penghalang angin tu dalam RM20++ je. Masa 1st camping ammi tak ada 2 perkara ni dan masa masak mmg kena bersilat dengan angin.


Paku (Peg)


(photo dari Google)


Banyak lagi keperluan asas camping sebenarnya.  Yang ini penting untuk pastikan khemah korang tak terbang dibawa angin.  Contohnya macam paku panjang atau dipanggil pancang.  Khemah waktu dibeli memang biasanya didatangkan dengan paku tapi sizenya pendek.  Jenis macam ko tiup pun khemah ko boleh terbang gitu.  Jadi itu kita beli berasingan.  Tak mahal pun, ammi beli 10 paku extra pada harga RM30 je.  Panjang paku tu dalam 30cm gitu.  Dan ko ketuklah dia sampai ke tanah tu dan ikatlah pada tali khemah.

Tali / Tukul / Lampu / Kipas Angin / Pole


Ini peralatan tambahan yang pada ammi perlu jugalah dibeli.  Sebab kalau tak ada hammer ni jenuh juga ko nak pacak paku yang panjangnya 30cm ke tanah.  Nak ketuk pakai apa kan?  Unless rumah korang memang ada hammer, ok je untuk guna.  Hammer RM16.00

Tali tu untuk ikat wings khemah korang supaya tak kena tempias hujan.  Tali RM9.00

Lampu tu ammi pun cuma ada lampu basic je.  Ammi ada seketul lampu yang nyalaannya pun suam-suam kuku je asal nampak ada orang berjalan sudah.  Lagipun kita bercamping bukan nak gi concert pun.  Lampu tu ammi beli pada harga RM28.00.  Ammi beli juga bag khas untuk tools ni pada harga RM30 kalau tak silap.  Kalau tidak karang ntah mana-mana perginya segala paku, lampu ni bagai karang kalau tak disimpan dalam tempat yang khas.

Kalau korang jenis ok je berpeluh tak perlulah berkipas bagai.  Tapi ammi nak juga rasa nyaman tu sebab bukan sepanjang masa angin bertiup.  Jadi ammi belilah sebijik kipas guna elektrik pada harga RM68.00.  

Pole adalah batang panjang untuk tambah awning khemah.  Macam masa ammi berkhemah ni tapak disediakan dengan flysheet (bumbung) jadi ammi tak perlu pasang pole extra.  Ada tapak yang tiada flysheet jadi memang kena pasang awning kalau tak tempat makan korang tu panas nanti.  Pole ni ammi beli pada harga RM68 untuk 4 batang (eh ye ke... ye kot)

Macam peralatan memasak yang lain ammi tak ada peralatan khas untuk berkhemah.  Ammi guna je periuk apa yang ammi guna di rumah.  Sebab itu lokasi adalah antara ciri yang ammi titik beratkan tiap kali nak berkhemah.  Ammi akan pastikan tempat tu ada plug point sebab ammi tak ada kettle masak atas dapur, ammi tak reti masak nasi atas dapur (ammi guna rice cooker), ammi tak ada kipas yang boleh charge tu.  

Inilah yang ammi rasa keperluan yang akan buatkan ko selesa berkhemah.  Mana yang ada duit extra bolehlah beli macam-macam.  Tapi ini pun dah selesa dah buat ammi sekeluarga.  

Kadang-kadang di tapak perkhemahan kita akan tengok ada khemah yang datang siap dengan portable aircond sekali.  Semua peralatan canggih-canggih dan mahal-mahal belaka.  Wahhhhh terasa picisan betul khemah kita disebelah tapi tak apa, kita hidup dengan apa yang kita mampu.  Kita bahagia cara kita gitu.

Ada yang nak join kami berkhemah?

Jangan disamaratakan

Ammi setuju sangat dengan ayat-ayat yang ditulis ni.

Mungkin gaji kita sama banyak tapi keperluan kita berbeza.  Anak kami ada 3 tapi anak awak cuma sorang.  

Kami anak orang biasa-biasa yang tiada harta tapi awak anak orang berduit.  


Ammi ada je baca di thread perkongsian orang tentang masalah dorang.  Kesian kadang-kadang tu sebab ada yang pukul rata kata si dia kedekut sebab taknak join lepak di cafe hipster, taknak keluar shopping, taknak lepak-lepak after work.  RM50 kalian mungkin tak sama value dengan RM50 dia sebab hanya dia je tahu apa keperluan dan kegunaan duit dia.  Duit dia bukan hanya untuk dia tapi juga untuk ibu, ayah dan adik beradik.  

Jadi, kalau ada kawan kita yang tak dapat ikut segala kemahuan kita, janganlah kecam dorang.  Kita tak duduk dalam kasut dorang. 

Gen Alpha Slang Words

Budak-budak zaman sekarang ni macam-macam bahasa baru dorang.  Kadang-kadang kita pun tak faham.  Pernah deal dengan sorang seller ni di WhatsApp dan dua tiga kali juga ammi reply pada jawapan dia sebab ammi tak faham.  Guna shortform yang halooooo acik tak paham do dik ooiii.

Dulu ammi tak faham bila dorang type “ak” “aq” (ingatkan apa...rupanya Aku).  Pastu ada yang type "lain ii"... rupanya dorang nak cakap "lain2".  



Antara perkataan-perkataan budak-budak zaman ini.  Ammi selalu cakap kat anak-anak ammi.  Kalau nak bercakap dalam group family yang ada makcik pakcik guna je bahasa standard sebab nanti korang yang penat nak explain.  Jangankan makcik pakcik tak faham, ammi pun tak faham.

Kak SA...tetiba nama akak pun terselit dalam slang budak-budak sekarang.  Acaner ni?





Lauk versi India di hari Natal

Hari Krismas haritu kami tak kemana-mana.  Abah pulak ambil giliran demam.  Khilfi sedari hari Ahad dia asyiklah sebut nak rasam.  Nak minum guna cawan steel macam masa muma ada dulu-dulu.  Alahai anak.  Ammi awak tak habis menuntut dari arwah muma cara buat rasam ni sebenarnya.  

Tapi sekarang ni tak ada masalah.  Kita dah ada macam-macam resepi di internet.  Ada rasam versi yang telah dimelayukan.  Tapi ammi cari rasam versi original yang memang orang India yang share di TikTok.  Ammi tunjukkan video tu kat Khilfi dan Khilfi kata "looks so easy ammi, let me do it".  Wahhh semangat lain macam.  Pukul 10 pagi dah tak menyempat tanya pukul berapa kita nak mula masak.  Sabarlah nak oiiii, ayam tu tak lembut pun lagi.  Mehlah kita berkemas-kemas dulu.

Ammi perhati, bila tiba bab memasak Khilfi lebih suka bantu Ammi di dapur.  Kyra lebih suka kalau buat cookies atau apa-apa yang melibatkan dessert.  Alamak cik puan, awak kena belajar masak juga.  Nanti suami dan anak-anak nak makan apa?  Takkan nak makan dessert semata.



Ini memang 100% air tangan Khilfi.  Daripada naik basikal pergi beli tomato, pergi petik daun kari depan rumah, tumbuk, tumis, didihkan semua hasil kerja dia sambil tengok video tu dan dia tiru sebijik-sebijik.  Abah kata "sedap dah tapi ada kurang rasa sikit dan tak boleh lawan rasam arwah muma, kena kaji sikit lagi".  Ammi pun rasa gitu juga mungkin ada bahan yang muma guna tapi orang tu tak guna.  Tapi sedap je.  Rasa berpeluh-peluh lepas makan.  

Rasam ni memang sesuai untuk orang demam, batuk, selsema tau.  Sejenis sup yang penuh dengan rempah ratus.




Sayur ni pun Khilfi yang goreng.  Ammi cuma potong-potong sayur dan fishcake tu je.  Dia yang buat dari menumbuk hinggalah ke sudah.  Ammi ajar dia step, mula-mula masuk apa, kemudian masuk apa pastu dia pandai-pandai sendiri je.  Alhamdulillah dah boleh harap dah anak bujang ammi ni.  Cumanya masa makan baru perasan dia tak cukup letak garam.  Tak apa kita bawa bekas garam naik atas meja.  



Ammi buat varuval chicken.  Patutnya varuval ni kering tapi ammi malas pulak nak tunggu air ayam tu kering sepenuhnya jadi hasilnya varuval versi basah dan lembab.  Yang ini pun ammi ambil dari video orang India juga sebab yelah itu makanan dorang, jadi kita ikut style dorang.  

Jadilah menu kami di hari Natal.  Lepas makan, solat kita layan tengok Under Paris.  Orang lain dah habis tengok ktia baru nak mula.  Kejap tu ammi belayar ke mana ntah sebab ammi makan ubat selsema.  Bangun macam mamai je ammi ingat ammi dah lewat nak pergi kerja padahal masa tu jam pukul 5 petang.  Gitulah bila tidur sampai lepas asar.  Nak buka mata pun payah.

Cuti Panjang 2025

Sana-sini ammi nampak orang kongsi senarai cuti panjang untuk tahun 2025.




Rasa-rasa bulan Januari tu ammi pun nak ambil cuti jugalah.  Dah alang-alang anak-anak cuti sekolahkan.  

Along ammi ada ajak berkhemah lagi masa CNY tapi rasanya kami tak joinlah kot sebab macam plan nak ke JB lepas ambil budak-budak ni balik dari asrama 17.1.2025 nanti.  Hati macam melonjak-lonjak nak ikut camping tapi bajet perlu diperhatikan juga.  Along dah tak ada anak bersekolah jadi dia dah boleh relax sikit bab-bab beli baju sekolah, buku sekolah, yuran sekolah.  


Bila terlalu banyak yang sama

Dak Kyra ni kalau dia yang pegang phone ammi dan ambil gambar memang tak reti ambil gambar sekeping dua.  Confirm berbelas-belas gambar yang sama ada dalam phone.  Storage iCloud ammi cuma 50GB je ye.  Dan storage gambar kat Google Photos cuma 15GB je.  

Jadi sebelum kita buang gambar yang berlapis-lapis ni kita buatlah collage.  Appreciatelah kesungguhan dia bergambar dan memenuhkan telefon ammi dia ni.


Nampak betul anak daranya.  Gi camping pun barang penjagaan muka tak tinggal.  Minyak wangi pun dia bawak juga.  Tapi eloklah kan anak perempuan pandai jaga badan...takdelah kepam je bau nanti.


Baju yang Kyra pakai ni sebenarnya uniform KAA dia masa disekolah lama.  Tapi suka betul dia pakai baju ni dan infact baju ni dia bawak juga ke asrama sebab senang katanya.  Takyah heboh nak tulis nama.  Sapa nak curi baju yang ada name tag sekolah.  



Yang seketul ni pulak sebenarnya nak bersenggayut kat kayu ni..tapi berani tak berani je.  Dia ni cukup takut nak buat aktiviti yang melibatkan kaki sebab dia ada masalah sikit dengan jari kaki dia sampai ammi pernah bawak berjumpa dengan pakar.  Kemalangan kecil masa tadika sampai ke harini kesannya.



Ammi perasan ammi ni sebenarnya tak banyak bergambar dengan abah.  Macam bergaduh laki bini pulak kekdahnya ye.  

16 sudah usiamu

Alhamdulillah.  21.12.2024 genap 16 usia anak sulung ammi.  Bangun awal subuh ammi dah wish dia birthday.  Tapi ammi cakap kat dia "ammi wish je tau, tahun ni tak ada hadiah sebab hadiah ammi dah bagi awal".  Dia pun ok je.

Seawal jam 10 pagi ammi dah siap load barang-barang camping masuk kereta dan kami plan untuk convoy ke tapak camping jam 11 pagi.  Ammi pun ajak abah ke kedai kek berhampiran rumah, dah pakat dengan along untuk suruh along yang bawakkan kek ni nanti.

Plan asal kita nak celebrate reramai masa BBQ waktu malam.  Turn out, tak ada elektriklah pulak dan kami terpaksa ambil bahagian BBQ untuk family masing-masing dan grill sendiri di khemah masing-masing.  


Kami tong-tong duit sefamily RM50 dan ada sorang wakil belikan bahan-bahan dan dia tolong marinate ayam dan kambing dari rumah.  Dia memang sejenis pandai masak, jadi kita puas hati dengan hasil marinate dia.


Mujur juga ada head lamp dalam kereta abah.  Dan mujur juga bateri cap ayam dalam headlamp ni masih berfungsi.  Kalau tak jenuh bergelap.


Ada mashed potato, sos pencicah yang sedap.  Ammi buatkan anak-anak mushroom soup juga sebab Kyra jadi tak tentu arah bila ternampak ada 3 tin mushroom soup.  


Dah selesai makan di khemah masing-masing, Kyra pun dah masuk khemah dan dah naik katil.  Ammi pun lelaju gi khemah sebelah dan mintak tolong anak buah keluarkan kek.  Ammi beli kek simple-simple je sebab risau kek mencair kalau beli yang macam-macam deco.  

Abah dari khemah orang sebelah jerit panggil nama Kyra...


Dia jalan je kitorang pun nyanyikan lagu happy birthday dan dia punya muka punyalah terkejut sebab katanya "I didn't expect everyone to celebrate my birthday dalam hutan macam ni" hahahha.  

Ayat along ammi "mama harap walaupun kita sambut birthday kakak dalam kegelapan, tapi hari-hari kakak yang seterusnya akan seterang lampu spotlight".  Wahhhhhh bermadah bagai kakakku.


Dan, akhirnya dapat juga Alip bagi hadiah yang "surprise" sangat untuk kakaknya.  Setiap jam dia tanya pukul brapa nak bagi surprise, pukul brapa nak bagi...ehhhh.  Sabau.  Hari Selasa dia ada rombongan sekolah ke kilang Beryls jadi dia belikan kakaknya coklat.  Pastu dia sorok coklat tu kat tempat sayur dalam fridge.  Huhuhu.  


Alhamdulillah...dia seronok walaupun kita raikan dalam gelap je.  Yang bestnya tukang bagi surprise tu sibuk tanya kakak "kakak taknak bukak ke? kakak taknak rasa ke?"... sebabnya???? dia yang nak rasa coklat yang dia bagi tu.

Hadiah birthday dia ammi dh bagi awal.  Tu sweatshirt yang dia pakai tu lah hadiah birhtday merangkap hadiah dapat result bagus masa periksa.  

Dan satu lagi yang best untuk birthday dia, dia juga dah diterima masuk sebagai ahli BADAR walaupun pernah direject masa awal dulu.  See, bila ada kesungguhan mesti ada jalannya.

BADAR ni singkatan untuk Badan Agama Dakwah dan Kerohanian.  

Ammi cakap kat dia, masa ammi induction kat U dulu ammi paling menyampah dengan kakak-kakak fasi yang BADAR ni sebab sibuk suruh pakai "kain dalam".  Yang tak ada kain dalam kena pakai seluar di belah dalam.  Dahlah kita kuat memberontak...tang kain dalam ni pun kita buat taktau je.  

Giveaway by Ejulz 2024

Ada lagi rupanya rakan blogger yang buat giveaway di penghujung 2024.  Rasa macam lama juga Ejulz tak bersiaran.  Dah alang-alang tu marilah kita raikan.  




Tarikh tutup 31.12.2024.  Meh lah join meriahkan GA Ejulz ni korang.




Berkhemah di Rock Lemon, Kenaboi

Hari Sabtu lepas, Alhamdulillah kami berkhemah lagi.  Lama dah book tempat ni.  Since camping pertama kami bulan 9 kalau tak silap.  Tempat ni memang sentiasa full.  Dan bila dah pergi baru tau kenapa sentiasa full.  Memang best.  So far selepas 3 kali berkhemah, ammi rasa inilah lokasi paling best, paling selesa, paling tenang dan damai.  

Dimana?

Kami ke Rock Lemon Campsite yang terletak di Kenaboi, Jelebu.  


Sampai sini sekitar jam 1.30 petang.  Sebelum pacak khemah kita solat dulu, biar lepas tu kita tenang-tenang je tak rushing masa pacak khemah.  Surau dia pun luas cuma ammi yang tak snap sebab tak bawa phone masa tu.


Bunyi air ni sangat mendamaikan.  Alhamdulillah Allah bagi nikmat melihat, mendengar dan macam-macam lagi.  Nikmat Allah yang mana lagi yang ingin kau dustakan Sharmila?



Dalam pukul 2.30petang kami dah siap sepenuhnya.  Siap mengemas bagai walaupun tetengah menyusun barang abah cramp kaki.  Alamak tuan...belum mandi sungai kaki dah cramp apa cerita?

Ini common area khemah kami.  Awalnya ammi cuma ambil tapak khemah size 15'x15' tapi bila ada sorang dari team yang nak berkhemah tak jadi berkhemah ammi tukar ambil tapak dia size 20'x20'.  So selesalah disitu.  Adik ammi pulak take over tapak ammi tu.  Tapi...last minute terpaksa cancel juga sebab dia tak boleh cuti hari Ahad.  Cuti dibekukan.  Stress je member.


Ruangan dalam khemah kami.  Belah dalam ni memang ammi serahkan pada Kyra dan Khilfi untuk susun atur.  Bawak juga carpet lama di rumah sebab belah bawah ni walaupun dah dipasang ground sheet masih terasa batu-batu kecil.  Selesalah sikit bila bercarpet masa nak solat tu.  Ammi ni tak rajin sangat nak ke surau tu.  Selesa solat dalam khemah je.


Disudut satu lagi khemah.  Oklah...nampaklah juga luas.  Malam baru kita pasang satu lagi foldable camping bed kat atas carpet ni.  Siang-siang kita tutup katil tu supaya tak nampak semak.


Kasi canlah kat tukang kemas enterframe.



Lepas Asar ammi pun mulalah bancuh tepung buat cekodok.  Anak dan suami dah terjun dalam air... kita buatlah apa yang patut untuk isi perut mereka.


Sejuk sangat abah kata airnya...dia pun tak tahan.  Tapi budak-budak ni macam tak ada perasaan.  


Jadilah cekodok ikan bilis letak jagung sikit.  Makan cicah dengan sos je.  Ammi sebenarnya ada buat ibu sambal kat rumah, tapinya Ya Allah bukan main pedas lagi cili tu.  Tulis kat packagingnya tak pedas tapi ammi yang boleh tahan pedas pun memang tak boleh nak tahan.  Sudahnya ammi tak bawak pun sambal tu.  Tak reti dah nak adjust camna.


Kami 3 beradik.

Member yang ditengah stress je tak dapat cuti...next time kita plan lagi la ye Yang...tapi ko ambik cuti sesiap.  Asyik orang lain je dapat cuti...ko kena cover orang.


Kami bersama pasangan kami.  Insyaallah kita menua bersama ye.

Tengah-tengah syok bergambar ehhhh tetiba elektrik tak ada pulak.  Memang masalah daripada cable TNB di luar kawasan.  Kata CO (Campsite Organizer) TNB perlukan dalam 3-4 jam juga untuk nak fix masalah ni.

Aisehman, camna nak berBBQ malam nanti sambil potong kek birthday anak dara ammi?  


Apa kemudahan yang ada di Rock Lemon?

  • Tandas yang bersih
  • Surau yang luas
  • Kedai Runcit (jual barang basic je)
  • Plug point di setiap tapak
  • Sinki di setiap tapak
  • Malam ada spotlight 
  • Kebanyakan tapak bersaiz 20'x20' dan 15'x15x dan didatangkan dengan flysheet

Harga tapak kami untuk 3hari 2malam ialah RM170.00.